VAKSIN DENGGI PERTAMA DUNIA DILULUS

NEW YORK – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin meluluskan vaksin denggi pertama dunia bagi mengekang penularan pe­nyakit bawaan nyamuk itu yang berpotensi menjangkiti separuh daripada penduduk di seluruh dunia.

Berbanding malaria, denggi tidak mempunyai ubat atau penawar khusus menyebabkan mangsa berdepan gejala mual teruk, sakit dalam tulang, pening, ruam, pendarahan dan mungkin juga maut.

Virus denggi boleh kekal dalam darah sehingga 10 hari dan sekitar 390 juta manusia dijangkiti virus tersebut setiap tahun di 120 negara khususnya di Asia Tenggara, Amerika Latin dan Afrika.

Dikenali sebagai Dengvaxia, vaksin baharu itu merupakan hasil kajian selama 20 tahun oleh penyelidik syarikat farmasi berpangkalan di Perancis, Sanofi Pasteur.

Empat buah negara telah meluluskan penggunaan vaksin tersebut iaitu Mexico, Brazil, El Salvador dan Filipina sementara kelulusan WHO kelmarin dijangka menarik lebih ba­nyak negara membangun untuk mengambil langkah serupa.

“Di negara-negara di mana denggi adalah endemik, ia adalah antara penyakit yang paling digeruni. Unjuran global menunjukkan peningkatan ketika ini dan penyakit itu pada dasarnya telah menjadi pandemik,” kata pengarah Inisiatif vaksin denggi, Dr. In-Kyu Yoon.

Vaksin itu diberikan dalam tiga suntikan dalam tempoh satu tahun.

sumber: kosmo  – 17.04.16

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *