MANFAAT BERENANG BUAT SI KECIL

Mengajar bayi ketika berenang sejak awal usia lagi sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat. Bukan sahaja memberi kebaikan kepada si bayi, malah aktiviti berenang ini juga sebenarnya mampu mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa.

Penyelidik dari luar negara telah membuat kajian dan mendapati bahawa bayi atau kanak-kanak yang didedahkan dengan latihan renang mempunyai potensi untuk meningkatkan kecergasan, daya tumpuan, kebolehan daya fikir dan juga menguatkan otot-otot tulang. Selain daripada itu, aktiviti renang juga mampu meningkatkan pembangunan sosial, emosi dan juga fizikal si kecil.

Aktiviti renang juga sebenarnya memberikan satu rintangan semula jadi. Rintangan inilah yang akan merangsang otot dan membantu membina kekuatan tubuh si kecil. Berenang juga merupakan satu bentuk senaman kardiovaskular di mana ia berupaya menguatkan jantung si kecil.

Dari sudut keselamatan air pula, pengetahuan berenang merupakan satu ilmu yang amat tinggi nilainya. Kanak-kanak yang tahu berenang akan lebih bersedia dan dapat menyelamatkan diri apabila berada dalam situasi kecemasan.

Malah, kajian yang telah dijalankan di kelas renang Brooklyn College New York menunjukkan kanak-kanak yang berenang setiap 30 – 60 minit setiap hari:

  • dapat membantu mengekalkan berat badan yang ideal
  • memberi lebih tenaga dan stamina
  • mengurangkan risiko darah tinggi, sakit jantung dan kegemukan
  • memberi rehat dan tidur yang lena
  • melancarkan peredaran darah dan pernafasan

Ibu bapa sebenarnya tidak perlu rasa takut untuk mengajar anak mereka berenang. Ia satu aktiviti yang selamat dan menyihatkan badan. Bahkan, sukan renang ini sendiri merupakan sukan kegemaran Nabi dan dianjurkan untuk kita melakukannya.

Akhir sekali, sebelum anda mahu mendedahkan aktiviti berenang ini kepada si kecil, dicadangkan agar ibu bapa mempelajari dulu teknik-teknik yang betul sebelum mengajar anak mereka berenang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *