ADAKAH KOTORAN ITU BAIK UNTUK KANAK-KANAK?

Sudah menjadi  kebiasaan untuk kanak-kanak menyentuh, merasa dan mencuba apa saja yang  terlihat di sekelilingnya. Bahkan, agak sukar untuk menghalang mereka daripada mencuba sesuatu kerana itu adalah proses tumbesaran mereka.

Semenjak kita dikejutkan dengan wabak selesema burung yang melanda negara kita tidak lama dahulu, agensi-agensi kesihatan, samada pihak kerajaan mahupun swasta telah melaksanakan pelbagai program bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan terutamanya untuk kanak-kanak. Sememangnya jangkitan kuman adalah perkara yang paling ditakuti, tambahan pula rata-rata ibu bapa sudah tentu tidak mahu anak mereka dijangkiti, lantas kebersihan menjadi satu kemestian yang sentiasa mereka pantau.

Persoalannya, adakah persekitaran yang bersih itu merupakan jaminan untuk kanak-kanak menjadi sihat?

Hipotesis kebersihan
Sudah banyak kajian dijalankan yang membuktikan bahawa pendedahan kepada kuman pada usia seawal bayi membantu membentuk daya tahan yang lebih kuat terhadap penyakit seperti asma dan allergi.

Ini yang dipanggil ‘hipotesis kebersihan’, yang menyatakan bahawa apabila kurangnya pendedahan kepada bakteria, parasit dan virus diawal usia membawa kepada tingginya risiko untuk menghadapi masalah allergi, penyakit asma, dan penyakit auto-imun yang lain.

Umum mengetahui perkembangan otak bayi bergantung kepada stimulasi dan persekitarannya. Mereka berkembang daripada apa yang mereka nampak, diajar dan didedahkan.

Seperti mana otak bayi memerlukan stimulasi, input dan interaksi untuk berkembang dengan normal, begitu juga sistem imunisasi mereka berkembang menjadi kuat dengan pendedahan kepada kuman-kuman (germs) dipersekitaran mereka.

Bagaimanakah ini terjadi?
Sistem pertahanan badan kita merupakan sistem yang sangat unik dan telah dikaji sedalamnya. Ibarat memori komputer, setiap pendedahan atau invasi kuman dalam badan kita akan disimpan sebagai memori. Pada kali pertama invasi kuman, sistem pertahanan badan akan bertindak balas dan terjadi la selesama, atau demam seperti yang kerap terjadi pada kanak-kanak. Sebenarnya ini merupakan tindak balas bagi melawan jangkitan kuman tersebut. Seterusnya, apabila kuman yang sama kembali menyerang, badan mereka sudahpun mempunyai jentera penyerang yang akan menghalang jangkitan tersebut daripada terus merebak. Ini yang dipanggil aktif imunisasi, dimana badan mereka membentuk daya tahan terhadap sesuatu kuman melalui jangkitan pada masa lalu.

Daya tahan badan yang kuat sangat penting sebagai persediaan untuk melawan penyakit, samada yang berjangkit ataupun tidak. Sebagai ibu bapa, kebersihan anak-anak sememangnya perlu dititikberatan. Namun, mereka juga perlu didedahan dengan persekitaran mereka. Berilah mereka peluang untuk berada dalam dunia mereka, kerana otak mereka sedang pesat berkembang. Seandainya mereka jatuh sakit, bawalah mereka untuk berjumpa doktor dan ibu bapa tidak perlu terlalu panik.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *