KETAHUI FAKTA-FAKTA PENJAGAAN LUKA INI!

1. Lebih dalam luka, lebih sakit.

Mitos. Lebih banyak penderia kesakitan terletak pada lapisan paling kulit paling luar (epidermis). Oleh itu luka dangkal seperti luka tersagat, adalah lebih sakit daripada luka tikaman atau luka terbelah.

2. Luka perlu dicuci dengan alkohol untuk basmi kuman.

Mitos. Alkohol digunakan untuk membasmi kuman pada kulit yang tiada luka. Pencucian luka dengan alkohol amat memedihkan dan boleh menyebabkan sel di dalam luka akan mati. Ada cucian antiseptik yang lebih mesra luka. Jika luka tiada tanda-tanda jangkitan kuman, hanya perlu cuci luka dengan air saline.

3. Mandi laut akan percepat luka sembuh.

Di hospital, luka yang tiada jangkitan dicuci dengan air garam(NaCl 0.9%). Namun begitu,ia tidak bermakna air laut baik untuk pemulihan luka. Air laut kadangkala dicemari dengan kuman, maka ada risiko untuk luka dijangkiti kuman. Selain itu kepekatan larutan garam dalam air lauy yang sangat tinggi akan menyebabkan sakit pada luka.

4. Luka kalau dibiar terbuka lebih cepat kering(sembuh).

Mitos. Luka perlu dikekalkan lembap untuk proses pemulihan yang lebih pantas dan elok. Ini kerana sel-sel yang bertanggungjawab untuk proses pemulihan luka memerlukan medium lembab untuk bekerja dengan optimum. Luka perlu ditutup dengan dressing yang sesuai

5. Pembentukan keruping adalah tanda luka sedang pulih dengan baik.

Mitos. Pembentukan keruping tandanya luka dibiarkan terlalu kering. Keruping melambatkan proses pertumbuhan sel baru dan menghalang luka sembuh dengan sekata. Untuk elakkan keruping, luka perlu dikekalkan lembap dengan menutupnya dengan dressing yang sesuai.

6. Jangan tutup luka dengan plaster. Plaster tempat pembiakan kuman.

Plaster akan menghalang kuman di persekitaran daripada masuk ke dalam luka. Kebanyakan plaster telah dinyahkuman sebelum dibungkus. Setelah pek dibuka, jangan sentuh permukaan plaster yang akan ditampal pada luka. Tidak mengapa jika ada kuman dipermukaan luar plaster. Asalkan saiz plaster lebih besar daripada luka dan ditukar setelah 2-3 hari.

7. Jangan makan telur jika ada luka. Nanti luka bernanah.

Mitos. Tiada masalah jika anda makan telur. Lagipun untuk proses pemulihan luka memerlukan protin. Apa yang tidak boleh adalah menyapu telur mentah pada luka.

8. Jangan makan kicap jika ada luka. Nanti parut hitam.

Mitos. Parut menjadi hitam kerana keradangan pada luka merangsang sel melanocyte menghasilkan melanin (pigmen pada kulit dan rambut). Jangkitan pada luka juga boleh sebabkan parut gelap. Bukan kerana kicap.

9. Luka di hati tiada siapa yang tahu.

Mitos. Insan yang prihatin dan peka pasti boleh membaca isi hati anda. Insan spesis ini agak rare, tapi masih wujud. Kalau jumpa, simpan ketat-ketat.

sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *