KEBAIKAN SUSU IBU

Dalam riwayat Thabarani dan ‘Ibnu dimaklumkan jika seorang wanita melahirkan, lalu ia mengeluarkan susu dari payu daranya dan dihisap oleh bayinya, setiap hisapan dan tegukan dia akan mendapat satu pahala. Jika ia berjaga sepanjang malam (kerana melayan bayinya), dia mendapatkan pahala seperti pahala orang memerdekakan 70 orang budak di jalan Allah. Kelahiran seorang bayi mencatat pelbagai memori buat wanita yang pertama kali bergelar ibu. Secara lahiriah seorang bayi tanpa perlu diajar bagaimana mahu menyusu (rooting reflex), secara automatik akan menghisap puting payu dara ibunya. Sebaiknya bayi terus dirangsang terus menyusu selepas satu jam dilahirkan. Proses ini penting untuk merangsang proses penghasilan susu secara berterusan.
Apakah itu kolostrum
Lazimnya pada awal proses penyusuan terdapat cecair berwarna kekuningan (kolostrum) bertindak sebagai antibodi pertama bayi. Kolostrum hanya hadir pada tiga atau empat hari-hari pertama hayat seorang bayi dan hanya sekali itu sahaja dalam tempoh enam bulan atau dua tahun tempoh penyusuannya. Ia tidak akan berulang. Kolostrum mengandungi antibodi yang melindungi sistem pencernaan bayi. Kolostrum adalah makanan pertama yang paling baik untuk bayi. Susu formula tidak dapat meniru kolostrum susu ibu. Kolostrum yang dijual di pasaran adalah ekstrak kolostrum susu lembu tetapi tidak sesuai untuk bayi.
Hakikat sebenar susu formula telah ditambah pelbagai rencah untuk menyedapkannya. Sekalipun apa jua kenyataan yang mereka keluarkan mengenai kehebatan setiap produk susu mereka, belum ada mana-mana susu formula boleh menandingi khasiat yang sedia terkandung dalam susu ibu. Gula dalam susu ibu adalah gula ringkas yang lebih mudah dicerna dan diserap oleh usus bayi berbanding gula kompleks yang terkandung di dalam susu formula. Oleh itu bayi mendapat nutrien lebih mudah daripada susu ibu.
Saiz payu dara kecil atau besar bukanlah ukuran susu yang dihasilkan.
Semua ibu secara semulajadi boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Saiz payu dara kecil atau besar bukan ukuran susu yang dihasilkan banyak atau kurang. Kelenjar mamari adalah kelenjar yang khusus menghasilkan susu yang terdapat pada wanita, jadi tidak bermakna saiz payu dara boleh membantutkan hasrat anda untuk menyusukan anak anda.

Apabila menyusukan anak anda sepenuhnya, haruslah mengawal dan berwaspada dengan apa yang anda makan.
Semua orang disarankan untuk menjaga kesihatan bukan hanya melibatkan ibu-ibu yang menyusu secara eksklusif. Makan secara sederhana dan mengikut keperluan badan. Bagi ibu menyusu yang gemarkan minuman berkafeina (kopi), ibu boleh minum kopi sebaik sahaja selepas menyusu. Rasionalnya ialah kafein dalam kopi telah selesai dicernakan, dicairkan dan dikumuhkan apabila tiba masa penyusuan seterusnya iaitu dua jam kemudian. Oleh itu kepekatan kafein dalam darah sudah menurun. Kaedah ini juga boleh dipraktikkan bagi ibu yang perlu mengambil ubat-ubatan tertentu.

Susu awal (foremilk)
Jika susu ibu yang diperah ke dalam botol diletakkan di atas meja seketika, kita akan dapat melihat susu ibu itu menjadi tiga lapisan iaitu warna keruh cair di lapisan paling bawah diikuti susu kekuningan di tengah dan susu putih pekat lemak berkrim di lapisan paling atas. Tetapi keadaan adalah sebaliknya bagi susu formula, lapisan cair paling atas manakala lapisan pekat di bawah (lemak berketumpatan tinggi). Bagi susu ibu, 80 peratus kandungan adalah air. Susu ibu terdiri daripada susu awal (foremilk) untuk menghilangkan dahaga dan susu akhir (hindmilk) untuk mengenyangkan bayi. Naluri semulajadi manusia minum kerana dahaga, maka itulah yang diberi oleh ibu terlebih dahulu kepada bayinya melalui susu awal (foremilk) yang mengandungi lebih air dan laktosa. Kemudian barulah susu akhir yang pekat (kandungan lemak tinggi) yang akan mengenyangkannya.

Menyusu boleh mengubah saiz badan ibu
Ibu yang menyusukan bayi lebih mudah menurunkan berat badan, selain itu uterus juga lebih cepat mengecut berbanding ibu-ibu yang memilih untuk tidak menyusukan bayi secara ekslusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *