Bahaya ‘Microsleep’

Pernah tak anda mengalami situasi; anda sedang memandu dan anda hilang tumpuan, atau mungkin anda terlelap. Apabila tersedar, kenderaan anda rapat dengan kereta hadapan, terhantuk stereng atau cermin tingkap kenderaan, atau mungkin anda dihon kerana memasuki lorong kenderaan sebelah? Jika anda pernah mengalaminya, keadaan itu dipanggil microsleep.

Apa itu ‘microsleep’?

Ia merujuk kepada satu episod tidur singkat yang tidak dapat dikawal dan berlaku untuk tempoh beberapa saat. Terjadi tanpa amaran dan kerap berlaku apabila seseorang individu yang dalam keadaan mengantuk cuba untuk melawan rasa tersebut dan kekal berjaga.

Kebiasaannya individu yang mengalaminya tidak menyedari bahawa mereka telah tertidur. Masalah microsleepini mendatangkan bahaya apabila berlaku ketika sedang memandu atau sedang mengendalikan sesuatu jentera, yang berpotensi meningkatkan risiko kemalangan yang serius.

Simptom

Gejala microsleep agak sukar untuk dikenal pasti kerana anda mungkin sudah tertidur untuk menyedarinya. Namun antara simptomnya adalah seperti:

  • Lambat bertindak balas terhadap sebarang maklumat.
  • Pandangan kosong, fikiran menerawang jauh.
  • Terjatuh sesuatu yang dipegang.
  • Kepala terlentuk.
  • Mata lambat berkedip.
  • Terkejut atau tersentak secara tiba-tiba (body jerk).
  • Sukar untuk mengingati apa yang berlaku 1 atau 2 minit lepas.

Masalah ini juga boleh berlaku ketika mata sedang dan masih terbuka.

Tanda amaran

Terdapat beberapa perkara yang anda lakukan ketika anda bakal menghadapi masalah microsleep adalah:

  • Tidak mampu atau terlalu sukar untuk memastikan mata sentiasa terbuka.
  • Menguap berlebihan atau kerap.
  • Tersentak secara tiba-tiba.
  • Mata berkelip lebih kerap dari biasa.

Tanda amaran ketika memandu:

  • Memandu keluar dari laluan atau lorong tanpa anda sedari dan secara berbahaya.
  • Berulang kali menguap.
  • Terlepas jalan keluar.
  • Kelopak mata memberat.

Apakah puncanya?

Microsleep biasanya disebabkan oleh rasa mengantuk yang teramat sangat dan digabungkan dengan tugas yang membosankan seperti memandu atau menonton televisyen. Semakin tinggi rasa mengantuk anda, semakan tinggi potensi untuk anda mengalaminya.

Kurang tidur, yang disebabkan masalah gangguan tidur seperti insomnia atau tidak mendapat kuantiti tidur yang mencukupi antara faktor utama.

Apabila kita dalam keadaan mengantuk, sebahagian otak kita sebenarnya mula tertidur walaupun secara fizikalnya kita masih terjaga namun hakikatnya otak kita tidak berfungsi sepenuhnya.

Langkah pencegahan

Cara yang paling berkesan untuk mencegah microsleep adalah dengan memastikan anda mendapat tidur yang berkualiti dan mencukupi pada waktu malam. Jumlah waktu tidur yang disyorkan untuk individu dewasa adalah antara 7 hingga 9 jam.

Lakukan beberapa perubahan dalam rutin harian juga dapat membantu memperbaiki kualiti tidur, seperti:

  • Elakkan pengambilan kafein dan alkohol terutama jika anda sudah letih.
  • Padam dan tutup lampu, televisyen, atau radio.
  • Hindari sebarang aktiviti yang boleh merangsang kecerdasan.
  • Kekal suhu bilik pada tahap yang selesa.

Jika anda terlalu mengantuk pada waktu siang, berikan diri anda masa untuk tidur, pastikan ia tidak lebih 20 minit, biasanya dikenali sebagai tidur tengahari (power nap). Ia dapat membantu menjadikan diri anda lebih segar.

Elakkan tidur melebihi 30 minit melainkan anda merancang untuk berjaga pada waktu malam. Tidur pada waktu petang yang melebihi 30 minit akan membuatkan diri anda berasa lebih mengantuk dan lesu.

Kredit: Asyikin Md Isa

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *