APA DIFTERIA DAN PUNCA PENYAKIT INI

Difteria atau diphtheria adalah jangkitan bakteria serius dan memberi kesan kepada membran mukus hidung dan tekak kita. Biasanya akan menyebabkan sakit tekak (sore throat), demam, lemah tubuh badan serta bengkak di bahagian kelenjar.

Tanda yang paling ketara jika dijangkiti kuman difteria adalah munculnya kepingan tebal kekelabuan yang menutupi hampir keseluruhan saluran tekak sehingga boleh menyebabkan maut akibat kesukaran untuk bernafas. Justeru, isu ini sangat serius jika melibatkan bayi yang masih belum mampu berkomunikasi dengan ibubapa jika mengalami kesakitan.

Penyakit ini sebenarnya sangat terpencil di Malaysia dan negara-negara membangun yang lain kerana kesedaran ibubapa untuk mengambil suntikan vaksin buat bayi-bayi mereka.

Namun untuk peringkat yang telah serius, diphteria berpotensi merosakkan hati, jantung, ginjal dan sistem saraf. Walau dirawat, penyakit ini tetap menjadi ancaman maut, 3 peratus dari pesakit maut akibat difteria. Risiko lebih tinggi untuk kanak-kanak di bawah usia 15 tahun.

Penyakit ini dikesan di kalangan orang dewasa di kawasan yang tidak mendapat imunisasi.

Agen penyebab: Corynebacterium diphtheriae. Bakteria yang dijangkiti oleh virus corynebacteriophageakan mengeluarkan toksin difteria.

Menjangkiti tekak (tonsil, farinks, larinks, hidung) dan kadangkala selaput mukus lain, kulit , konjunktiva dan kemaluan.

Cara jangkitan: Jangkitan difteria tersebar dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair dan sentuhan fizikal.

Tempoh pengeraman: 2 hingga 5 hari atau lebih lama.

Jangkitan adalah teruk dan boleh mengancam nyawa. Komplikasi adalah sepanjang hayat bagi individu yang tidak mendapat imunisasi secukupnya. Risiko meningkat di kawasan yang sesak dan mempunyai tahap sosioekonomi yang rendah.

Penyakit Difteria Diphtheria

TANDA DAN GEJALA

  • Pembebasan sitotoksin menyebabkan keradangan dan terbentuknya selaput lembut berwarna kelabu di sekitar tekak.
  • Sukar menelan kerana tekak berasa sakit di kawasan antara rongga mulut dan farinks dan bengkak pada kelenjar leher.
  • Bagi kes yang teruk, leher menjadi bengkak dan edema.

KOMPLIKASI

  • Kelumpuhan saraf kranial, motor periferi dan deria serta miokarditis.Kelumpuhan saraf otak, kaki dan tangan (motor periferi) serta deria dan radang pada jantung (miokarditis)

RAWATAN KHUSUS

  • Antitoksin diberikan serta-merta selepas spesimen bakteria diambil tanpa menunggu keputusan.
  • Antibiotik tidak boleh mengantikan antitoksin.
  • Eritromisin dan Penisilin diberi selepas kultur diperolehi.

PENCEGAHAN

Semua individu yang melakukan perjalanan ke luar negara perlu mendapatkan vaksin.

  • Jenis vaksin: Toksoid Difteria.
  • Bilangan dos: Sekurang-kurangnya 3, disuntik ke dalam otot.
  • Jadual vaksin: Ketika berumur 2, 3 dan 5 bulan berdasarkan Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia.
  • Dos tambahan: Ketika berumur 18 bulan dan 7 tahun.
  • Kontraindikasi: Kesan buruk terhadap dos sebelumnya.
  • Kesan buruk:  Kesan ringan di tempat suntikan atau seluruh tubuh.
  • Sebelum berlepas: Dapatkan vaksin seawal mungkin. Terdapat sedikit perlindungan selepas dos vaksin yang kedua.
sumber: http://www.myhealth.gov.my/difteria/

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *